Pura-pura beli kad prabayar sebelum menyamun


Mereka berpura-pura untuk membeli kad prabayar telefon bimbit tapi sebenarnya kumpulan itu adalah penyamun.
Taktik itu digunakan sekumpulan lima lelaki menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira hijau dengan menjadikan kedai telefon bimbit dan kafe siber sebagai sasaran.
Dalam tempoh tiga hari sahaja, kumpulan itu dikesan melakukan jenayah tersebut sekurang-kurangnya di tiga buah premis di daerah ini


Tidak cukup dengan itu, suspek dikatakan bertindak ganas dengan menikam mangsa dengan senjata tajam setiap kali menyamun.

Seorang pemilik kedai telefon bimbit yang dikenali sebagai Ah Hong, 34, memberitahu, kejadian berlaku pada 11 September lalu semasa dia sedang menjalankan urus niaga di kedainya di Tikam Batu.

“Tiba-tiba tiga lelaki memasuki kedai dan berpura-pura mahu beli kad prabayar. Semasa saya ambil kad, salah seorang daripada mereka mengeluarkan senjata tajam dan minta saya serahkan wang.

“Selepas dapat duit, lelaki itu menikam saya dan terus melarikan diri. Saya sempat lihat dua lagi menunggu dalam kereta,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Turut diedarkan, gambar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan tindakan suspek yang memasuki kafe siber dan kedai telefon bimbit di sekitar Taman Sejati Indah.

Peniaga itu mendakwa, dia dimaklumkan beberapa rakannya yang menjual telefon bimbit sekitar Taman Sejati Indah di sini turut menjadi mangsa dipercayai kumpulan penyamun sama.

“Saya tidak pasti mereka rugi berapa. Saya sendiri kerugian sebanyak RM12,000,” dakwanya.

Berikutan itu, katanya beberapa peniaga telah melaporkan kejadian tersebut kepada polis baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supritendan Ong Aik Chang ketika dihubungi berkata, setakat ini pihaknya menerima dua laporan berhubung kejadian seumpama itu.

Bagaimanapun, katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti sama ada suspek terdiri daripada kumpulan sama atau sebaliknya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kum pulan lelaki berkenaan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di talian 04-4212222 bagi membantu siasatan. — Utusan Malaysia

Followers

BLOGGER

PingBlog.Net | Himpunan Terbaik Artikel Blogger